Sunday, 17 July 2011
HiDaYaH......
Hidayah adalah satu perkara yang sangat berharga kerana dari
situlah titik tolak seseorang yang tidak Islam itu masuk Islam.
Kemudian dari situ terus dia berusaha untuk mendapatkan ilmu
dan iman serta lain-lain lagi yang ada di dalam ajaran Islam.
Untuk seseorang yang memang sudah Islam, akan terbukalah
pintu hatinya untuk serius dengan Islam dan berusaha mempelajari
ilmu Islam dari sumber Al Quran dan Hadis serta mengamalkannya.
Seseorang yang tidak Islam kalau belum mendapat
hidayah ertinya hatinya belum terbuka untuk menerima Islam
atau masuk agama Islam. Begitu jugalah seseorang yang
berketurunan Islam, jika hidayah belum dapat ertinya hatinya
tidak akan terbuka untuk serius dengan Islam, untuk mengamalkan
Islam dan memperjuangkannya. Setelah berusaha
mempelajari dan setelah hati terbuka untuk beramal maka
selepas itu mungkin akan mendapat taufiq dari Allah Taala.
Taufiq ertinya apa yang diamalkan itu tepat atau berbetulan
dengan kehendak Allah Taala. Maka sempurnalah Islam seseorang
itu kerana seluruh amalannya telah bergabung di situ di
antara hidayah dengan taufiq. Namun mendapat taufiq pun
belum tentu selamat. Walaupun lahiriah dan maknawiyahnya
sudah betul tetapi zahiriah dan batiniahnya mungkin belum
selesai. Apa yang tersembunyi dalam hati mungkin tidak sama
dengan apa yang dizahirkan. Amalan zahir nampak hebat tetapi
mungkin dicelahi dengan riyak, ujub, hasad dengki dan sebagainya
yang merosakkan amalan. Kalau soal batiniah tidak dijaga,
orang yang mendapat taufiq pun boleh terkandas. Inikan pula
baru setakat mendapat hidayah. Tanpa tasawuf, ramai yang
tertipu dengan ibadah mereka.
Soal ada kemahuan untuk membuat kebaikan dan mendapat
ilmu (hidayah), itu soal lahiriah. Untuk beramal, sama ada
untuk berbuat ibadah atau meninggalkan maksiat, itu juga soal
lahiriah. Kalaupun ilmu dan amal soleh sudah selari dan amalan
tepat atau berbetulan dengan kehendak Allah (taufiq), itu pun
masih soal lahiriah. Soal batin atau tasawuf belum diambil kira.
Sedangkan amalan yang diterima Tuhan itu mesti cukup syarat
lahir dan batinnya.
Walau bagaimanapun setakat hidayah itu pun sudah merupakan
satu anugerah yang sangat berharga dari Allah Taala
yang Maha Pemurah, kerana dari hidayahlah pintu hati terbuka
untuk menjadi seorang Islam atau bagi seorang Islam pula,
terbuka hatinya untuk mempelajari dan mengamalkan ajaran
Islam. Oleh kerana hidayah adalah satu benda yang berharga,
tidak semua orang boleh mendapatnya atau memperolehinya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment